Pengumuman Penting

Peraturan Peperiksaan

Pelajar diwajibkan mematuhi semua peraturan peperiksaan yang berkuat kuasa di universiti. Setiap peperiksaan yang dijalankan oleh universiti adalah tertakluk kepada Peraturan Am Peperiksaan seperti yang dinyatakan di Jadual I kepada kaedah-kaedah ini.

 

Kecurangan Akademik

Takrifan

Kecurangan Akademik ertinya tindakan-tindakan pelajar yang melanggarkan perkara 8 Kaedah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Tatatertib Pelajar) 1999 iaitu:

Tiada pelajar boleh:

a) Mengambil apa-apa buku, kertas kerja, dokumen, gambar atau benda lain, kecuali yang diberi kuasa oleh pemeriksa, ke dalam atau ke luar dari sesuatu bilik peperiksaan, atau menerima apa-apa buku, kertas kerja, dokumen, gambar atau benda lain daripada mana-mana orang lain semasa dalam bilik peperiksaan, kecuali seseorang pelajar boleh, semasa dia di dalam bilik peperiksaan, menerima daripada pengawas peperiksaan apa-apa buku, kertas kerja, dokumen, gambar atau benda lain yang telah disyorkan oleh pemeriksa atau Jawatankuasa Peperiksaan, dan diberi kuasa oleh Naib Canselor ; atau

b) menulis, atau telah menulisnya melalui orang lain, apa-apa maklumat atau gambar rajah yang mungkin berkaitan dengan peperiksaan yang didudukinya, di atas tangannya atau di atas mana-mana bahagian lain tubuh badannya, atau di atas pakaiannya ; atau

c) berhubung dengan mana-mana pelajar lain semasa sesuatu peperiksaan melalui apa-apa jua cara; atau

d) menipu atau cuba untuk menipu atau berkelakuan mengikut cara yang boleh ditafsirkan sebagai menipu atau cuba untuk menipu dalam sesuatu peperiksaan, semasa peperiksaan itu sedang dijalankan * termasuk alat-alat elektronik dan komunikasi.

Kecurangan akademik juga termasuk memplagiat kertas projek, latihan ilmiah, kerja kursus dan tugasan lain.

Keputusan Peperiksaan

Keputusan peperiksaan yang diluluskan oleh Senat adalah muktamad.

Peperiksaan Khas

Universiti boleh membenarkan Peperiksaan Khas kepada pelajar semester akhir yang gagal satu (1) atau maksimum dua (2) kursus pada semester berkenaan (semester akhir) untuk tujuan pengijazahan. Peperiksaan Khas boleh diduduki sekali sahaja dengan bayaran RM50.00 dan pelajar perlu mengemukakan permohonan dalam tempoh dua minggu selepas keputusan peperiksaan diumumkan.

Bagi kursus yang ada peperiksaan akhir, gred maksimum yang akan diberikan adalah gred C+. Keputusan asal yang berkaitan tidak dimansuhkan dan dicatatkan dalam transkrip.

Bagi kursus yang tiada peperiksaan akhir, pelajar semester akhir yang gagal satu (1) atau maksimum dua (2) kursus pada semester berkenaan (semester akhir) layak diberikan tugasan untuk tujuan penilaian dan gred maksimum yang akan diberikan adalah gred C+. Keputusan asal yang berkaitan tidak dimansuhkan dan dicatatkan dalam transkrip.

 

Our Location

 
Kementerian Pendidikan Malaysia PTPTN Jabatan Perkhidmatan Awam SPP MQA MyBSN Kajian Pengesanan